Tuesday 6 November 2012

Mesej dakwah Maher Zain

Posted by Unknown | 14:59 Categories:




SEBELUM ini penulis hanya berkesempatan mendengar dendangan lagu-lagunya yang menjurus kepada genre spiritual dan kerohanian.
Bait-bait lirik dengan melodinya kedengaran sangat jujur. Seolah-olah ia lahir dari jiwa tulus penyanyinya membuatkan mesej dakwah yang disampaikan mudah meresap ke dalam hati pendengar.
Maher Zain antara nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada pencinta muzik negara. Dua tahun lalu, nama jejaka keturunan Lebanon yang dibesarkan di Sweden itu mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat Malaysia.
Sudah melahirkan dua album iaitu Thank You Allah pada tahun 2009 dan Forgive Me pada bulan April lalu, populariti bapa kepada seorang cahaya mata bernama Aya Zain itu semakin melonjak naik. Malah, populariti menjadi satu fenomena dalam dunia hiburan Islam antarabangsa.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik yang pernah bekerja sebagai penerbit muzik itu memberitahu, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi sebelum ini.
"Dahulu saya jauh daripada Islam kerana tidak mempraktikkannya dalam cara hidup seharian. Setelah tersedar dalam belenggu kelalaian dan mula mempelajari Islam, saya tidak mahu anak muda lain 'tersasar' seperti saya.
"Jadi, saya mahu kongsikan apa yang dipelajari melalui muzik untuk mengajak mereka ke arah kebaikan. Saya melihat cara ini lebih mudah untuk diterima dengan meluas," katanya sambil menyifatkan karyanya tidak hanya menekankan ajaran Islam, bahkan sarat dengan nilai kemanusiaan, kehidupan dan kekeluargaan.
Baginya, muzik merupakan bahasa antarabangsa kerana ia 'berbicara' dengan semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.
"Jika anda menghasilkan muzik yang bagus, mereka akan mendengar dan menghayati bait-bait lirik yang penuh dengan inspirasi.
"Saya menerima maklum balas baik daripada orang bukan Islam daripada pelbagai latar belakang, budaya, agama dan usia," ujarnya yang mempunyai lima juta pengikut di laman sosial Facebook pada masa ini.

AURA Maher Zain membuatkan para peminat setia sanggup turun padang menghadiri konsert penyanyi kesayangan mereka itu.


Rahsia populariti Maher Zain
Apakah yang membuatkan Maher Zain meraih populariti mendadak hingga menjadi fenomena umat Islam seluruh dunia?
Tidak berniat melontarkan soalan berbaur provokasi, penulis bertanya: "Apa istimewanya anda sehingga mampu mencetuskan fenomena? Peminat terima anda kerana wajah yang kacak atau kualiti lagu-lagu yang dihasilkan?"
Dengan nada tenang, Maher Zain yang turut berlakon dalam siri drama televisyen Indonesia bertajukInsyaAllah, Ada Jalan memberitahu, segalanya akan mustahil tanpa keredaan Allah.
"Di sebalik sesuatu kejayaan bergantung kepada beberapa elemen. Perlu ada kerja keras, dedikasi, matlamat dan pasukan yang sangat komited menyokong apa yang anda lakukan. Tanpa sumbangan besar mereka, siapalah saya.
"Ia sebenarnya satu pakej. Anda mungkin ada suara, tetapi tiada lagu yang bagus atau punya lagu bagus, tetapi tidak mempunyai suara sedap dan sebagainya," katanya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
Ujarnya, segala yang hebat itu datangnya daripada Allah. Sebenarnya Maher Zain tidak pernah melakukan sebarang promosi atau datang ke Malaysia sebelum ini. Seseorang telah memainkan lagu-lagunya di sini dan ia terus mendapat sambutan ramai sekali gus melakar fenomena.
Maher Zain memberitahu, dia selesa dan tidak menghadapi masalah menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu kerana sebutan vokalnya hampir sama dengan bahasa yang dituturkannya iaitu bahasa Sweden. Bagaimanapun, ujarnya bahasa Turki dianggap paling sukar untuk dituturkan beliau.
Menyedari bahawa populariti yang dikecapinya akan ada pasang surutnya, Maher Zain sudah bersedia menempuh fasa tersebut.
Andai jodohnya dengan industri muzik tidak lama, dia memasang impian membuat sesuatu yang dekat dengan kanak-kanak kerana baginya mereka adalah penentu masa depan.
Seperti lagu-lagunya yang sarat dengan mesej dan nilai-nilai positif, Maher Zain sempat menitipkan pesan buat para peminatnya di negara ini.
"Sentiasa tekankan nilai positif dalam diri dan anggaplah esok anda menempuh hari baharu, walaupun hari ini anda berdepan dengan kesukaran. Sentiasa bersedia menempuh hari esok dan cuba menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Sambutan memberangsangkan terhadap penjualan album Thank You Allah membolehkan Maher Zain mendapat Anugerah Platinum.


"Saya suka untuk berkongsi falsafah yang menjadi pegangan hidup saya kini iaitu Live your life as if you will live forever, live for akhirah as if you will die tomorrow. Percayalah, anda akan menjadi lebih bahagia," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube