Friday, 9 November 2012

DOKTOR PENIPU KENA TANGKAP

Posted by Unknown | 03:24 Categories:



Doktor Penipu Kena Tangkap


London – Seorang pakar berdepan siasatan polis selepas dia didakwa melakukan lebih 700 pembedahan bagi membuang benjolan di payu dara ke atas 450 wanita yang dilaporkan sihat.
Susulan pendedahan berkenaan, Ian Paterson, bukan sahaja disiasat di bawah kes jenayah malah dia juga digantung tugas sejak bulan lepas.
Paterson, yang merupakan pakar kanser payu dara, telah bertugas di hospital pakar dan kerajaan sejak 1994.
Akibat dakwaan kecuaian berkenaan, kira-kira 100 pesakit telah membuat tuntutan pampasan dengan alasan, mereka tidak sepatutnya menjalani pembedahan berkenaan.
Salah seorang mangsa ialah seorang nenek, Gail Boichat yang berusia 57 tahun.
Menurut Boichat, dia disahkan menghidap kanser payu dara pada 1995 dan telah dirawat oleh Paterson ketika doktor berkenaan bertugas di hospital Good Hope.
“Paterson telah melakukan pembedahan mastectomy dan memberikan ubat kanser yang amat kuat iaitu tamoxifen, hingga menyebabkan saya mengalami menopause awal,’’ katanya.
Boichat hanya mengetahui dia tidak pernah menghidap sebarang kanser payu dara pada bulan Februari lalu selepas Majlis Perubatan Am menjalankan siasatan ke atas Paterson.
“Saya amat terkejut, takut dan seperti orang bodoh. Saya langsung tidak boleh bercakap kerana terkejut.
“Setiap hari saya melihat parut kesan pembedahan itu sedangkan saya langsung tidak memerlukan pembedahan itu,’’ katanya.
Jelas Boichat, dia hanya mahukan pampasan dan dalam masa sama, Paterson juga perlu didakwa atas tuduhan jenayah iaitu hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukan kepadanya.
Kesemua 100 wanita terbabit yang menjadi mangsa Paterson akan diwakili oleh firma guaman Thompson, dan tidak dikenakan yuran asas.
Selain disiasat kerana melakukan kecuaian itu, Paterson juga dituduh membuat tuntutan insuran palsu mendakwa melakukan pembedahan kos tinggi dan pembedahan yang tidak pernah dilakukannya.
Ia susulan laporan dua pesakitnya bahawa Paterson telah menyerahkan tuntutan insurans kepada syarikat insurans dengan jumlah yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Paterson yang diwakili oleh kesatuan perubatan memberitahu dia telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut.
Paterson bagaimanapun enggan menggulas isu yang dibangkitkan oleh pesakitnya dengan mendakwa ia adalah sulit dan siasatan juga sedang dijalankan.

0 comments:

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube